Alhamdulillah. Seperti yang dijadualkan, pasukan pemantau mewakili Jabatan Pelajaran Negeri Selangor yang diketuai oleh Encik Sufian telah hadir membuat penilaian ke atas Lorong PPDa yang dicalonkan ke peringkat negeri sebelum ini. Kehadiran pemantau pada hari ini disambut oleh anak-anak SKTS yang sedia menunggu sedari awal sebelum mengiringi tetamu ke bilik mesyuarat untuk sesi taklimat ringkas oleh pihak sekolah. Tepat jam 8.45 pagi, sesi taklimat dipengerusikan oleh adik Asilah Harisha sebelum dimulakan dengan bacaan doa oleh adik Tengku Muhammad Izzuddin. Seterusnya Puan Guru Besar memberikan kata-kata aluan dan selamat datang kepada pasukan pemantau dengan melahirkan rasa kesyukuran dan kebanggaan atas pencalonan yang memberi peluang kepada SKTS menunjukkan kecemerlangannya dari pelbagai segi dan aspek merentasi kurikulum dan kokurikulum. Ucapan seterusnya diberikan oleh Encik Sufian selaku ketua juri pada hari itu di mana beliau melahirkan rasa kekaguman di atas semangat yang ditunjukkan oleh SKTS terutamanya penyelaras Unit PPDa yang bertungkus lumus membuat persediaan untuk pemantauan ini. Sesi kemudiannya diteruskan dengan persembahan slaid yang memaparkan sejarah kewujudan PPDa SKTS dan program-program yang dikendalikan oleh Unit PPDa sekolah selama ini. Tepat jam 9.20 pagi, pasukan pemantau memulakan lawatan ke Lorong PPDa untuk membuat penilaian. Secara kesimpulan, SKTS diberi maklum balas akan adanya peluang untuk menembusi ke peringkat kebangsaan mewakili negeri Selangor. Bagaimana pun, ia terserah pada keputusan akhir. Apa yang diharapkan persediaan yang ada untuk pemantauan ini berterusan kekal sebagai medium pendidikan yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh warga sekolah terutamanya bagi murid SKTS.
PPDa SKTS
PPDa merupakan akronim yang merujuk kepada Pendidikan Pencegahan Dadah yang diperkenalkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian di mana ia merupakan dasar mengenai keperluan murid, guru, kakitangan dan ibu bapa untuk menerima pendidikan pencegahan dadah bagi memastikan isntitusi pendidikan bebas dadah yang merupakan salah satu objektif Dasar Dadah Negara. Dasar ibu dilaksanakan melalui empat pendekatan utama iaitu pengurusan dan kepimpinan, kurikulum, kokurikulum dan pembentukan sahsiah.
Berdasarkan matlamat itu, SK Taman Seroja mengambil inisiatif dengan mempromosi program ini di peringkat sekolah. Melalui program ini, murid didedahkan akan bahaya najis dadah selain menerapkan amalan-amalan positif dalam kehidupan yang di sampaikan secara langsung dan tidak langsung melalui proses P&P di dalam kelas atau penganjuran program dan aktiviti yang berkaitan.
Salah satu cara untuk menarik perhatian murid bagi mendapatkan maklumat mengenai program ini, satu kawasan khusus telah dipilih di kawasan sekolah sebagai Lorong PPDa. Melalui lorong itu, pelbagai maklumat mengenai najis dadah, kesan dan penyalahgunaan, perkara-perkara larangan yang berkaitan dengan dadah dan seumpamanya dipaparkan untuk pengetahuan murid. Bahkan, Lorong PPDa ini pernah dinobatkan sebagai Lorong PPDa terbaik di peringkat Negeri Selangor bagi tahun 2009.
Melalui program ini, diharapkan seluruh warga SKTS dapat mengambil perhatian yang sewajarnya bagi mencapai visi bebas dadah pada tahun 2015 seperti mana yang disebutkan melalui Dasar Pendidikan Pencegahan Dadah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment